SPR tubuh unit pantau kempen pilihan raya

Oleh Wan Esuriyanti Wan Ahmad


 

PUTRAJAYA, Selasa : Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan menubuhkan Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya sebagai langkah awal dalam mengelak kempen keterlaluan sama ada dalam pilihan raya kecil atau umum.

Bagi langkah jangka panjang, semua parti politik yang ingin menyertai pilihan raya pada masa depan perlu mendaftar dengan SPR, selain pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan sekarang.

Pendaftaran dengan SPR itu adalah satu daripada cadangan bagi pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, bertujuan mendisiplinkan parti politik dan mengelak kempen tidak beretika ketika pilihan raya.

Cadangan lain dalam pindaan itu termasuk menaikkan deposit bagi setiap calon supaya peruntukan itu dapat digunakan bagi membersih sepanduk dan poster, jika calon gagal menurunkan semula bahan kempen mereka.

Selain itu, pindaan bagi Seksyen 7 hingga 11 membabitkan pelbagai kesalahan pilihan raya dan pengaruh negatif ketika berkempen serta penetapan saiz poster.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata sebaik saja parti politik mendaftar dengan SPR, mereka perlu mematuhi setiap syarat yang ditetapkan atau tidak dibenarkan menyertai sebarang pilihan raya.

“Kita akan tentukan syarat itu. Kalau tidak ada dalam perundangan (sedia ada), SPR akan menambah termasuk denda. Kita akan menegah mana-mana parti politik menyertai pilihan raya jika gagal mematuhi syarat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Mesyuarat khas itu diadakan bagi mengkaji semula fungsi SPR dalam mengendalikan pilihan raya termasuk bagi menangani cara berkempen yang keterlaluan.

SPR sebelum ini ditegur beberapa pihak berikutan kempen pilihan raya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit di Kedah, yang dipenuhi unsur ganas, ugutan, maki hamun dan perbuatan lucah.

Mengenai pasukan pemantau pilihan raya, Abdul Rashid berkata, ia akan ditubuhkan sebagai badan ‘pengaman’ sepanjang tempoh berkempen, yang disertai anggota pasukan keselamatan, pegawai SPR dan calon dari semua parti yang bertanding.

“Mereka ini akan memantau cara penyokong masing-masing berkempen sepanjang tempoh mulai penamaan calon hingga ke hari pengundian,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang pilihan raya sedia ada lebih menekankan kepada perlakuan calon yang bertanding tetapi tidak ada peruntukan yang membabitkan parti politik.

“Adalah sukar bagi kita disiplinkan parti politik yang melakukan kesalahan ketika pilihan raya kerana kita tidak ada kuasa berbuat demikian. Jadi, adalah diharapkan kuasa ini boleh diwujudkan kepada SPR,” katanya sambil menambah, cadangan baru itu diharap dapat dibuat ketika

bacaan kali kedua rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat September depan.

Abdul Rashid berkata, SPR akan mengadakan perbincangan dengan semua parti politik bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai dua pilihan raya kecil Pendang dan Anak Bukit.

Mengenai tindakan isteri Dr Mohd Hayati Othman, calon Pas pada pilihan raya kecil Pendang membawa kipas yang tertera lambang parti itu ke dalam pusat pengundian, Abdul Rashid berkata ia tidak sepatutnya berlaku.

“Perkara itu tidak dapat dielakkan kerana dia menyembunyikan kipas berkenaan dalam bajunya. Bila tiba di kotak mengundi, baru dia keluarkan. Pegawai SPR terkejut dan tidak dapat berbuat apa-apa.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana kedua-dua calon sudah dimaklumkan mengenai peraturan pilihan raya. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati, mereka boleh membuat laporan kepada mahkamah,” katanya.

Ditanya sama ada SPR akan memenuhi permintaan Pas untuk memberikan bukti dakwaan bahawa pilihan raya kecil berkenaan adalah paling buruk dan memalukan, Abdul Rashid berkata, perkara itu tidak perlu.

“Kita tak pernah kata Pas yang terbabit dalam apa juga bentuk keganasan yang dibuat ketika kempen pilihan raya kecil itu. Jadi, tak ada sebab mengapa kita perlu memberi bukti kepada mereka. Siapa yang rasa cili, dialah terasa pedasnya.

“Sebenarnya, saya sendiri dimaki hamun ketika kempen itu tetapi SPR tetap bersabar dan tidak akan mendakwa mana-mana parti politik,” katanya.